­
Syafiq Yusof Tegur Ibu Bapa: Jangan Bawa Anak Bawah Umur Tonton 'Blood Brothers: Bara Naga'

Syafiq Yusof Tegur Ibu Bapa: Jangan Bawa Anak Bawah Umur Tonton 'Blood Brothers: Bara Naga'

Pengarah filem Blood Brothers: Bara Naga, Syafiq Yusof memberi teguran tegas kepada penonton agar mematuhi klasifikasi umur filem itu dan tidak membawa anak-anak di bawah umur 16 tahun menontonnya di pawagam. 


Menurutnya, filem tersebut telah jelas diklasifikasikan sebagai tontonan 16 tahun ke atas, dan peringatan itu telah pun dinyatakan di poster, aplikasi, kiosk pawagam serta pada tiket. 

“Perhatian kepada ibu-ibu dan bapa-bapa. Filem Blood Brothers hanyalah untuk tontonan 16 tahun ke atas sahaja,” kata Syafiq. 

Teguran ini menyusul selepas beberapa penonton meluahkan rasa kesal apabila terdapat ibu bapa yang membawa anak kecil menonton filem tersebut, walaupun kandungannya sarat dengan aksi ganas dan tema berat yang tidak sesuai untuk golongan bawah umur. 

Dalam masa yang sama, Syafiq turut mengingatkan orang ramai agar tidak merakam atau memuat naik sebarang babak daripada filem itu ke media sosial, khususnya di TikTok, susulan beberapa rakaman yang telah mula tular sejak tayangan bermula 10 April lalu. 


Blood Brothers: Bara Naga kini mencatat kejayaan besar apabila berjaya meraih kutipan RM21 juta dalam masa tiga hari tayangan awal, hasil lakonan mantap barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly dan Amelia Henderson.

Catat Ulasan

0 Ulasan