Ayez Shaukat Fonseka Beri Bayangan Watak Samat Lebih Menyerlah dalam Sekuel 'Takluk: Lahad Datu'

Pelakon dan juga penggusti profesional, Ayez Shaukat Fonseka sekali lagi mencuri perhatian apabila wataknya sebagai Samat dalam filem Takluk: Lahad Datu terus menjadi perbualan hangat di media sosial. Filem ini, yang mula ditayangkan pada 22 Ogos 2024 di pawagam, kini mencipta gelombang kedua setelah berjaya 'menakluk' platform Netflix, menarik perhatian penonton dari dalam dan luar negara. 



Dengan jalan cerita yang penuh aksi mendebarkan dan lakonan yang mantap, Takluk: Lahad Datu diilhamkan dari kisah benar serangan di Kampung Tanduo pada tahun 2013. Filem ini diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, seorang pengarah yang tidak asing lagi dalam menghasilkan naskhah berkualiti. 

Kejayaan filem ini turut disumbangkan oleh watak Samat yang dilakonkan dengan penuh jiwa oleh Ayez Shaukat Fonseka. Watak Samat, yang digambarkan sebagai individu misteri tetapi berpengaruh, menjadi kegemaran ramai penonton, lantas melonjakkan lagi populariti pelakon ini. 

Terbaru, Ayez Shaukat Fonseka telah memuat naik satu hantaran di akaun Facebook miliknya (klik sini) yang membuatkan peminat filem ini semakin teruja. Dalam hantaran tersebut, beliau memberi bayangan bahawa wataknya sebagai Samat akan memainkan peranan lebih besar dalam filem sekuel yang akan datang. Kata-katanya, 

"Alhamdulillah... Nantikan sequel, in shaa Allah berperanan lebih besar"

Ianya mencetuskan spekulasi dan perbualan hangat di kalangan peminat yang tidak sabar menantikan perkembangan seterusnya dalam kisah Takluk. Takluk: Lahad Datu merupakan fasa pertama daripada sebuah penceritaan epik yang penuh emosi, strategi, dan keberanian.

 

Filem ini bukan sahaja mengetengahkan elemen aksi, tetapi turut membawa mesej kemanusiaan dan semangat patriotisme yang mendalam. Hasil arahan Zulkarnain Azhar dan kerjasama barisan pelakon hebat, filem ini telah mengangkat kisah tragedi Kampung Tanduo ke layar perak dengan penuh hormat dan kekuatan naratif. 

Dengan sambutan hangat yang diterima di Netflix, pengumuman mengenai sekuel ini ketika seminggu filem ini ditayangkan di pawagam pastinya menjadi berita baik kepada para peminat yang dahagakan kesinambungan cerita. Bagi mereka yang belum menonton, inilah masanya untuk menyaksikan sendiri kehebatan Takluk: Lahad Datu di Netflix dan bersedia untuk filem kedua yang dijangka lebih hebat dan penuh kejutan!

Catat Ulasan

0 Ulasan