Huaraian Ending Filem 'I Know What You Did Last Raya' [SPOILER ALERT]

Bila bercakap pasal filem raya, I Know What You Did Last Raya antara filem yang cukup ikonik yang diarahkan oleh Prof A Razak Mohaideen. Filem yang ditayangkan pada 14 November 2004 sempena hari raya itu mendapat reaksi positif ketika tayangannya. Paling unik, filem ini merupakan parodi kepada filem thriller Hollywood, I Know What You Did Last Summer (1997).

Ringkasnya, filem ini berkisar pasal sekumpulan rakan, Dr. Mira, Lan, Fazzly, Yasir dan Shahida yang terlanggar seorang lelaki dan seekor kambing dalam perjalanan pulang ke kampung. Pada malam raya, mereka mula mendapat mesej dengan tulisan 'Aku Tahu...' yang menunjukkan ada orang yang tahu pasal kejadian langgar lari itu.

Post ini menghuraikan beberapa persoalan di dalam filem ini yang tidak ada jawapan konkrit dengan menggunakan akal fikiran penulis. Tidak semestinya perbincangan ini benar sebenarnya. 

[SPOILER ALERT]

-

-

-

-


SIAPA RAKAM KEJADIAN LANGGAR LARI?

Di akhir filem, kita didedahkan bahawa dalang kepada kejadian ugut mengugut itu datangnya daripada Man, watak lakonan Ebby Yus. Namun, Shahida terfikir satu soalan. Jika Man ialah orang yang dilanggar, siapa pula yang rakam video langgar lari itu dan hantar VCD kepada Shahida? 

Persoalan ini tidak ada jawapan yang jelas kerana filem ini memilih untuk berakhir dengan open ending. Bahasa kampung panggilnya sebagai ending tergantung!. Tapi, ianya tidaklah tergantung mana. Jawapan untuk persoalan ini mungkin ada di mana mana.

Dari keseluruhan filem, jika yang dilanggar itu ialah Man, dan ada yang merakam, kita dapat tahu di sini yang Man bukan satu-satunya dalang kepada kejadian langgar ini. Yup. Kejadian langgar lari ini dirancang bukan seorang, tetapi dua orang. 

Persoalan ini akan dijawab di bawah. 

SIAPA YANG DILANGGAR?

Perlu diingatkan di sini, Man memakai jubah hitam sepanjang kemunculannya. Manakala manusia yang dilanggar itu ialah berjubah putih. Sepanjang filem, ketika adegan Mira, Roslan, Shahida, dan Yassir tersesat di hutan, lelaki berjubah putih yang menangkap mereka dan bawa ke rumah tinggal. 

Dapat disimpulkan di sini yang Man bukanlah manusia yang dilanggar. Mungkin juga manusia yang dilanggar itu bukan manusia. Dan ini sekaligus dapat disimpulkan yang Man sebenarnya mungkin manusia yang merakam kejadian ini.

Siapa manusia berjubah putih dan kambing itu? Berdasarkan ayat-ayat ayah Man, dia menyatakan yang kambingnya selamat. Jadi, dapat disimpulkan yang langgar lari itu tidak pernah terjadi dan hanyalah gangguan iblis yang mungkin bersubahat dengan Man untuk membalas dendam terhadap lima orang yang kerap membulinya.

DAH PUASA, TAKKAN ADA SYAITAN?

Perkara ini mungkin sukar untuk dihuraikan. Kejadian langgar lari itu berlaku pada malam terakhir Ramadhan. Esoknya itu, ketika mereka berbual di wakaf, mereka berada di dalam hari terakhir Ramadhan. Ugutan demi ugutan pula datang pada malam 1 Syawal. Jadi, persoalan adakah syaitan yang sudah dileraikan belenggu kembali untuk melakukan tugas membantu Man membalas dendam mungkin dapat difikirkan.

Penulis percaya yang kesemua VCD, daging kambing, ugutan serta kemunculan kambing ketika Yasir balik masjid adalah antara bukti bahawa Man bukanlah bersendirian tetapi bersekongkol dengan syaitan.

PERSOALAN AKHIR, LELAKI BERJUBAH DI AKHIR FILEM TU SIAPA?

Jika kita fikirkan tentang Man yang bersekongkol dengan syaitan, maka terus terang dapat kita huraikan yang lelaki berjubah tersebut ialah syaitan laknatullah. Dia sudah berjaya memporak-porandakan jiwa Man dan menjadi seperti apa yang dipaparkan. Ini agak logik untuk difikirkan apabila Man sentiasa bersendirian dan tidak berkawan.

Malah, Man juga mungkin sering berlepak di rumah lama itu dan menjadikan syaitan sebagai temannya. Ini ialah jawapan paling dekat sekali untuk menyimpulkan siapakah lelaki berjubah di akhir filem.

Jika teori berkaitan syaitan ini ditolak, maka mungkin juga kita dapat lihat lelaki berjubah di akhir filem ini sebagai seorang rakan Man yang ingin membantu Man. Namun, rakan subahat Man ini tidaklah ada jawapan yang jelas. Adakah Man ada rakan yang melihat segala perbuatan lima rakan tersebut dan ingin bantu Man balas dendam?

Jika ya, maka lelaki rakan subahat ini sudah pasti menyelidik lima rakan ini semenjak diorang di KL lagi. Kalau tidak, mana Man nak tahu bila diorang akan lalu kawasan itu dan rancangan boleh dilaksanakan.

Maka, untuk menjawab siapakah lelaki berjubah putih itu, terserah pada korang untuk decide samada ianya syaitan atau rakan subahat misteri yang ingin bantu Man.

KESIMPULAN

I Know What You Did Last Raya bercakap tentang isu buli, tentang masa silam yang menghantui masa kini, dan tentang persahabatan. Ianya mungkin antara karya Prof A Razak Mohaideen yang malar segar dan masih diingati sehingga kini. Apapun ending yang ada di kepala korang, ianya bukanlah terlalu kompleks untuk dihuraikan. Cuma, filem ini agak abstrak dan membuktikan yang filem Prof A Razak Mohaideen juga ada sesuatu untuk dianalisa dan bukan sekadar ditonton saja. 



LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK



==========================================

Catat Ulasan

0 Ulasan