Tahun Terbit | 2020
Pengarah | Michael Bay
Pelakon | Ryan Reynolds, Melanie Laurent, Corey Hawkins
Michael Bay kembali lagi dengan filem aksi bercorak heist yang memang hanya peminat filem bikinannya saja yang faham. Ya, filem Michael Bay ni bukan untuk semua orang. Ianya seakan ada mazhab yang tersendiri dimana apa yang Bay lakukan, jika melanggar peraturan, tidak pernah dikisahkan. Sepertimana filem Bay yang lain, begitulah 6 Underground diberikan.
Filem ini buat pertamakalinya menyaksikan pengarah filem Transformers itu bergandingan dengan pelakon Ryan Reynolds. Gandingan ini mungkin sebuah gandingan yang agak rare sebab tiada lagi filem Michael Bay yang pernah dilakonkan pelakon Deadpool itu. Selain Ryan Reynolds, filem ni menggandingkan banyak pelakon lain yang tidak kurang hebatnya.
Alkisah filem ni berkisar tentang bagaimana One, seorang kaya yang kematiannya dipalsukan demi misi khas merekrut 5 orang lagi untuk membentuk satu pasukan untuk menumpaskan sebuah regim ganas di sebuah negara Arab, Turgistan (negara ini fiksyen semata, sebab tak ada nama negara ini di peta dunia!)
Di separuh masa pertama filem, kita banyak dihidangkan dengan aksi yang cukup padat. Ini sekaligus menjadikan 6 Underground mempunyai pembuka selera yang cukup lazat dan menyelerakan. Kepadatan dan juga kehebatan adegan kejar mengejar di Itali memang cukup membuatkan peminat aksi tak senang duduk dan teruja menonton.
Pertengahan filem pula seakan sedikit memeningkan apabila banyak flashback yang disajikan kelihatan agak fast cut dan mengelirukan. Tapi, tidak mengapa, flashback ini sekadar teman rapat kepada plot utama sahaja yang tidaklah perlu diambil kira sangat. Abaikan sahaja bahagian yang paling lemah dalam filem ini, iaitu flashbacknya.
Bahagian akhir filem ini pula dipenuhi aksi. Tetapi, entah kenapa, aku rasa babak aksi di penutup filem seakan gagal untuk menyaingi kehebatan aksi pembukaan filem ni. Masih boleh buat aku puas, tapi levelnya tidaklah sampai dengan level aksi di Itali yang cukup baik. Adegan kapal magnet tu memang padu dan terbaik!
Filem ni tak perlukan korang melayan plotnya. Jika kau ambil kisah pasal penceritaan, character building dan lain-lain aspek, korang memang akan kecewa. Itu semua ialah kelemahan penceritaan filem-filem Michael Bay semenjak dari dulu. Dan pengarah ini tak pernah kisah pun untuk upgrade ilmu penceritaannya sebab dia sendiri tak pernah kisah.
Apa yang terbaik bagi filem ni semestinya aksi dan juga letupan. Filem ni meriah dengan letupan bunga api, adegan kejar mengejar yang memang realistik dan rancak, serta watak-watak yang sentiasa menjerit. Malah, gaya kerja kamera yang sinonim dengan pengarah ini masih disajikan sekaligus menjadikan filem ni unik.
Memang 6 Underground bukan filem yang baik. Tapi, bagi penggemar filem Michael Bay, filem ni berjaya untuk memuaskan tekak penonton yang menginginkan filem baru dari pengarah itu. Bay mungkin tidak pernah nak tukar genre filem arahannya. Dia mungkin takkan tukar gaya penceritaan dan kerja kameranya, sebab dia tahu, di luar sana ada peminatnya yang masih menerima filem arahannya seadanya.
Jujurnya, pada aku, 6 Underground memang gempak jika dilihat sepenuhnya pada aksi yang disajikan.
LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK
0 Ulasan