Blok 404 ialah filem remake daripada filem VCD yang diterbitkan pada tahun 2003. Diarahkan oleh Isma, filem Blok 404 mengambil inisiatif untuk menjadi sebuah filem slasher yang pertama seumpamanya dalam senarai filem tahun 2018. Walaupun dilanda kontroversi, filem ini nampaknya tidaklah seburuk mana. Ianya layak dipuji pada aspek-aspek tertentu.
Artikel ini bakal menghuraikan dan membongkar Blok 404 secara tersurat dan tersirat. Ambil bahawa artikel ini mempunyai MAJOR SPOILER. Anda tidak dinasihatkan untuk membaca artikel ini jika anda masih belum menonton filem ini.
-
-
-
-
-
-
-
-
-
-
HURAIAN PENUH FILEM ‘BLOK 404’
Filem ini bermula dengan Husin mendera watak Kamal Adli dan Killafairy dengan memaksa mereka makan daging tangan mereka sendiri yang dikerat.
Zul (Boy Iman), Hairi (Amar Asyraf) dan Intan (Nadia Brian) yang dalam perjalanan menuju ke sebuah pesta. Di pertengahan jalan, kereta yang mereka naiki rosak. Zul yang memandu mencadangkan untuk bermalam dan mereka menemui guesthouse 404 yang terletak jauh di dalam hutan.
Di guesthouse 404, tetamu yang sudah ada di situ ialah Dwan (Aedy Ashraf), seorang pemuda yang pendiam, dan Gina (Adrea Abdullah), seorang pelajar yang datang nak cari ketenangan dengan niat nak dapatkan lelaki untuk ditiduri. Pada hari yang sama, Misha (Nur Risteena) mula bekerja buat pertamakalinya di guesthouse itu.
Apabila Zul, Hairi dan Intan tiba di guesthouse, mereka disambut oleh Wan (Raja Azrey), pemilik kepada guesthouse tersebut. Ketika itu juga, mereka berkenalan dengan Hussin (Zamarul Hisham) yang memarahi Intan kerana telah membuang sampah di halaman guesthouse.
Pada malam hari, diadakan aktiviti barbeque. Ketika Intan mahu menukar tracklist lagu dari handphone Hairi, Intan ternampak mesej gadis lain dalam handphone. Pertengkaran berlaku. Intan merajuk dan masuk ke bilik.
Tidak lama bersendirian di dalam bilik, pintu biliknya diketuk kencang. Seorang lelaki bertopeng berdiri di hadapannya. Intan ingatkan itu ialah Hairi dan menggodanya masuk ke dalam bilik sebelum ternampak mata lelaki itu yang aneh. Apabila diketahui bahawa lelaki bertopeng itu bukanlah Hairi, Intan cuba melarikan diri sebelum disuntik sesuatu sehingga pengsan. Intan lalu didera sehingga mati.
Selepas itu, pada malam itu juga Gena berjaya menggoda Zul untuk have seks dengannya. Malangnya, belum sempat Gena berbuat apa-apa, dia telah dibunuh dengan kejam. Selepas itu pula, Dwan yang sedang tidur di dalam bilik dikejutkan dengan kedatangan seorang badut. Pada mulanya, Dwan ingatkan badut itu hanya sekadar prank, namun akhirnya, badut itu menyuntik Dwan sebelum didera selepas itu.
Malam itu, Wan juga dikejutkan dengan kehadiran Sue (Fasha Sandha). Sue datang ke guesthouse itu untuk menuntut sebuah video yang menjadi pengalaman hitamnya. Ada seseorang telah menghantar video tersebut melalui emel dan bakal merosakkan rumah tangganya. Malangnya, Sue dibunuh juga akhirnya.
Hairi dan Misha kini antara yang terselamat. Selepas berjaya membunuh badut dan seorang lagi pembunuh yang menjadi dalang kepada semua ini, Hairi sempat keluar dari guesthouse. Namun, nyawanya tak panjang apabila dia akhirnya dibunuh di dalam kereta.
Filem lalu dilajukan ke hadapan dan cameo Azrel Ismail, Izreen Azmida, Taufiq Hanafi muncul sebagai mangsa baru yang akan dibunuh.
URUTAN KEMATIAN MANGSA
Intan – Intan dibunuh selepas dia merajuk dengan Hairi. Intan ialah seorang model yang mana melakukan instagram review sebagai pendapatan. Dia diculik oleh seorang manusia bertopeng dan disuntik sesuatu sehingga menyebabkan dia pengsan. Apabila dia terjaga, dia berada di dalam bathtub. Tidak dapat bergerak dan berkata-kata, dia hanya memerhati sahaja lelaki pembunuh mengetuk-ngetuk tangannya sehingga pecah berdarah kerana kesalahannya mencemarkan alam sekitar dengan membuang sampah.
Gena – Gena ialah seorang gadis yang sukakan seks. Dia gemar mencuba pelbagai jenis lelaki. Di awal filem, kita lihat Gena sedang cuba untuk menggoda Dwan, namun sempat dihalang oleh Misha. Gina akhirnya mendapat apa yang dia nak apabila Zul sudi untuk tidur dengannya, malangnya, sebelum Gina sempat melakukan apa-apa, dia dikapak oleh manusia bertopeng sehingga maut dek kerana kesalahan melakukan maksiat.
Dwan – Selepas berbual dengan Misha, Dwan lalu ke bilik untuk tidur. Tidurnya tak lama apabila dia dikejutkan dengan kehadiran seorang badut. Pada mulanya, Dwan menyangkakan lelaki badut itu cuba untuk berjenaka, malangnya dia silap. Lelaki badut itu menyuntik Dwan dengan sesuatu sehingga pengsan. Apabila Dwan sedar, tangannya sudah diikat. Lelaki badut lalu menyuruh lelaki bertopeng untuk menyiat kulit badan Dwan yang sedang lumpuh dan tidak dapat bergerak. Selepas itu, kaki Dwan dikerat dengan gergaji dek kerana kesalahannya tidak pernah balik rumah menjenguk ibu dan ayahnya.
Sue – Sue ialah kekasih kepada Wan, pemilik guesthouse. Dia datang ke guesthouse hanya untuk minta Wan berikan video kenangan lamanya yang boleh merosakkan rumah tangganya yang dibina. Namun, lelaki badut berjaya menikam Sue sehingga pengsan dan dia dibawa ke bilik pengantin dimana didedahkan bahawa Dwan ialah antara yang terlibat dalam perancangan pembunuhan ini. Wan menikam Sue di dalam pakaian pengantin lalu mengelar lehernya sehingga mati kerana Sue tidak mengahwininya suatu ketika dahulu.
Hairi – Hairi pula ialah kekasih kepada Intan yang berjaya survive sehingga akhir bersama dengan Misha sebelum dikhianati oleh Misha sendiri. Hairi menaruh hati terhadap Misha dalam diam walaupun dia sudah ada Intan. Dia di dalam kereta oleh Misha sebelum sempat melarikan diri kerana kesalahan tidak puas dengan seorang wanita yang ada. Misha lalu membawa kereta yang ditinggalkan Zul, Hairi dan Intan ke gueshouse selepas itu.
URUTAN PEMBUNUH DAN KEMATIAN MEREKA
Husin – Husin diperkenalkan pada awal filem lagi. Walaupun bertopeng, kita tahu bahawa lelaki bertopeng itu ialah lakonan Zamarul Hisham yang mana bakal menjadi pembunuh dalam file mini. Husin dilihat menyeksa watak cameo Kamal Adli dan Kilafairy dengan memaksa mereka memakan daging pasangan masing-masing sambil diikat di kerusi. Husinlah yang menikam Intan di dalam bilik dan membawanya ke bilik bathtub untuk merakam video seksaan ke atas Intan. Husin juga ialah manusia yang menetak Gena dan mengelar daging badan Dwan dan mengerat kakinya sehingga mati. Husin mati ditetak oleh Hairi ketika dia berada bersama pembunuh lain untuk merakam kematian Sue.
Zul – Zul ialah watak yang pada awalnya baik dan menjadi sahabat kepada Hairi dan Intan. Zul ialah pemandu kepada kereta Hairi dan Intan. Zul jugalah yang membawa Hairi dan Intan ke guesthouse 404. Tanpa siapa pun tahu, Zul sebenarnya merancang untuk merakam pembunuhan Intan dan Hairi supaya video rakaman pembunuhan lebih viral kerana Intan dan Hairi ialah selebriti media sosial. Zul memerangkap Gena untuk tidur dengannya sebelum Husin masuk ke bilik dan mengapak Gena hingga mati. Zul lalu merakam kematian Gena. Zul lalu memakai pakaian badut dan membuat prank kepada Dwan sebelum menyuntiknya sehingga pengsan sebelum Dwan diseksa oleh Husin di dalam bilik seksaan. Ketika Zul mengejar Hairi dan Misha di atas bumbung, Zul yang cuba menyerang Hairi tersasar lalu jatuh dari atas bumbung guesthouse dan mati.
Wan – Wan ialah pemilik kepada gueshouse. Wan sebenarnya ialah manusia yang baik. Dia pada asalnya tidak mahu mengikut perancangan Husin dan Zul namun terjerat juga kerana memikirkan logiknya dia untuk membersihkan manusia kotor di dunia. Lalu, dia mengumpan Sue untuk berjumpa dengannya dengan emel yang dihantar oleh Zul. Wan meluahkan kekecewaan akibat cintanya ditolak Sue sehingga dia masuk ke hospital mental. Di situ, dia belajar tentang erti sayang dan dibawa balik dari hospital oleh Zul dan Husin untuk melaksanakan ‘hukuman mereka sendiri’ ke atas manusia yang kotor. Pada malam itu, Sue yang dipengsankan dipakaikan pakaian persandingan setelah dirogol oleh Zul. Sue ditikam sebelum Sue berjaya menikam Wan kembali. Namun, Wan terselamat dan tidak terkorban. Kecederaannya tidaklah serius mana dan dia masih boleh bertahan.
Misha – Misha ialah kejutan yang tidak dijangka. Menjadi watak yang sentiasa cemas dan membuatkan Hairi percaya mereka berdua ditakdirkan untuk terselamat. Misha menjadi twist terakhir filem ni apabila didedahkan sebagai adik beradik kepada Wan dan Zul. Didedahkan pada awalnya, Wan dan Zul tidak mahu melibatkan Misha dalam pembunuhan ini, tetapi akhirnya mereka masukkan Misha juga dalam perancangan mereka. Misha pada awalnya cuba memerangkap Dwan dengan menjalinkan hubungan dengannya sehinggakan Dwan meminta Misha keluar dari Blok 404 kerana ada 'something' tentang tempat itu. Misha menjadi sahabat baik kepada Dwan sebelum Dwan dibunuh. Misha digilai oleh Hairi sehingga mahu beralih dari mencintai Intan dan mencintai Misha. Misha membunuh Hairi sekaligus menjadikan ‘hero’ kita mati sebelum sempat melarikan diri. Misha dipertanggungjawabkan membawa kereta milik Zul yang masih boleh berfungsi (Hairi dan Intan ditipu oleh Zul pada awal filem) kembali ke guesthouse 404.
AIR BARU MEMBERSIHKAN AIR YANG KOTOR
Tema Blok 404 sebenarnya berlingkar tentang air baru yang membersihkan air yang kotor. Pada awal filem sendiri, kita telah melihat watak Wan berdiri di dalam sungai dengan falsafahnya sebelum dia sendiri didedahkan sebagai pembunuh.
Idea pembunuhan ini dilontarkan oleh Husin kerana mahu membersihkan jiwa Wan yang mana diseksa oleh cinta Sue. Namun, ianya melarat kepada satu pemahaman cult yang menjadikan Husin, Zul, Wan dan Marsha pembunuh yang menjadi hakim kepada mangsa mereka. Mereka tidak membunuh saja-saja tetapi mereka mahu membuang ‘air kotor’ dari dunia ini.
Air kotor yang dimaksudkan ialah watak-watak pengunjung guesthouse yang mana mempunyai kisah silam sendiri dan juga sentiasa mencari ruang untuk melakukan kesilapan sama ada dari segi duniawi ataupun aspek lain. Bagi Husin, Zul, Wan dan Marsha, manusia yang selalu melakukan kesilapan tanpa menyedari ianya sesuatu yang tidak betul tidak harus wujud di dunia ini.
Watak Intan contohnya, tidak menyedari bahawa hubungan dengan Hairi ialah terlarang. Yalah, sebab mereka berani bersedudukan tanpa ikatan. Malah, sebelum dibunuh, Intan mempelawa Hairi untuk have seks dengannya. Hal ini membuktikan bahawa hubungan Intan dan Hairi ialah lebih dari sekadar kekasih dan mengamalkan falsafah free thinker.
Watak Gina pula ialah watak manusia yang tidak pernah sedar bahawa seks itu hanya perlu diraih melalui ikatan perkahwinan dan cara yang sah. Perlakuan Gina mewakili sikap manusia yang tidak pernah kisah tentang seks bebas padahal mereka sedar bahawa seks bebas adalah salah di sisi undang-undang dan dikira sebagai maksiat. Seks bebas juga ialah punca kepada gejala AIDS.
Dwan pula seorang yang bangga apabila dia memberitahu Marsha bahawa dia tidak pernah jenguk ibu bapanya. Itu pun salah satu realiti masyarakat dimana ramai remaja sekarang menganggap ibu bapa hanyalah sekadar susur galur mereka dan tidak pernah berfikir untuk menjaga mereka. Dwan sendiri tidak menganggap perbuatannya tidak balik ke rumah sebagai satu kesalahan. Dan ianya satu pemikiran yang salah kerana ibu bapa sentiasa perlu dilayan dengan sebaiknya.
Sue mungkin antara watak yang mati mungkin kerana moralnya yang dikira sebagai salah di mata Wan. Memang Sue berhak menolak cinta Wan, tetapi, mungkin Sue tidak sedar bahawa cinta yang diberikannya membuatkan Wan menggilainya dan tidak dapat melupakan dirinya. Kematian Sue memberi pengajaran tentang pentingnya setia dan menghargai seseorang yang mencintai kita.
Kematian Hairi pula memberi pengajaran tentang pentingnya setia. Sikap Hairi juga ialah cerminan masyarakat kita sendiri dimana kebebasan untuk menjalinkan hubungan kadangkala boleh membawa padah.
Justeru, fikirlah, sama ada kau ialah air yang kotor? Atau bagaimana?
FILEM DIKRITIK YANG MENGKRITIK
Selepas menonton filem ini, aku nampak penerbit filem ini seperti tidak kisah untuk bermain api. Seperti yang anda tahu, filem ini mencipta kontroversi sendiri apabila ianya diterbitkan oleh DBI Entertainment milik Boy Iman yang mana pernah dibongkar media tentang beberapa penipuan yang dilakukan.
Blok 404 pula seperti menempelak netizen yang mana sering menjaga hal orang lain. Netizen ialah manusia yang sentiasa menaikkan sesuatu isu melalui sharing dan komen di media sosial. Melalui filem ini, kita didedahkan bahawa Husin, Zul, Wan dan Marsha melakukan pembunuhan ini untuk memberi pengajaran tetapi juga menggunakan video yang dirakam sebagai bahan untuk mendapatkan duit melalui upload di laman sosial.
Ketika Zul mahu membunuh Hairi, Zul mendedahkan the reason kenapa Zul memancing Hairi dan Intan ke sini ialah kerana dia mahu menggunakan kematian Intan, seorang selebriti untuk meningkatkan view video mereka di laman sosial. Dengan kuasa viral, dan netizen yang menggemari video begitu, pendapatan akan lebih tinggi melalui iklan di laman sosial.
Kita sendiri melihat Hairi dan Intan menonton sebuah video seksaan yang dilakukan oleh Husin pada awal filem tanpa menyedari bahawa Zul adalah dalang disebalik itu. Justeru, filem ini boleh dikatakan mengkritik moral manusia yang sentiasa terhibur dengan pelbagai video dera, kejam dan juga pelik yang ada di laman sosial.
Malah, filem ni mengkritik isu yang dimainkan netizen tentang DBI sendiri. Lihat saja watak Zul lakonan Boy Iman yang mengenakan pakaian badut. Apakah yang terlintas di fikiran korang apabila melihat Boy Iman berpakaian sedemikian? Yes, ianya akan mengingatkan kita tentang isu Boy Iman sendiri yang mana netizen gelarkannya sebagai Datuk Boy Belon.
Watak Zul seakan menyatakan bahawa apa yang netizen katakan sebenarnya tidak pun melunturkan apa yang dilakukan oleh Boy Iman untuk sentiasa melakukan apa yang dia nak. Sebuah kiasan yang agak berani. Bermain dengan api tu!
KESIMPULAN
Blok 404 ialah sebuah filem slasher yang unik dan memang tidak dinafikan antara pemula genre slasher yang berani. Ya, kita mungkin tak dapat kengerian selayak filem Hollywood kerana aspek tapisan, tetapi idea Blok 404 segar dan menarik. Ya, aku akui bahawa Blok 404 berjaya twist the twist sehinggakan menjadikan Blok 404 ini lebih baik dari Blok 404 asal.
Filem ini kini berada di Astro First 492.
0 Ulasan