Huraian Babak Kemuncak Filem 'Hantu Kak Limah' [SPOILER ALERT]



Hantu Kak Limah sudah mula 'mengokak' di pawagam. Filem yang kini sedang menjadi antara topik hangat di kalangan penggemar filem sudah mula mengaut keuntungan yang memberansangkan. Hantu Kak Limah menjadi sekuel ketiga daripada filem sebelum ini dan sememangnya sebuah naskah Mamat Khalid yang wajib ditonton.


Artikel ini akan menghuraikan lebih dalam tentang apa yang tersirat dengan babak akhir filem ini dan juga keseluruhan filem. Ambil maklum bahawa post ini disertakan dengan MAJOR SPOILER yang mana mungkin akan mengganggu korang jika masih belum menonton filem ini. Jangan baca jika masih belum tonton tau. Tapi, kalau berkeras juga, apakan daya.

-

-

-

-

-

-

-

-

-

-


HURAIAN PENUH FILEM 'HANTU KAK LIMAH'

Filem ini bermula dengan Wani, Yeh membawa pasangan Khuda dan Kak Limah pulang ke rumah Khuda yang berada di tepi sungai. Setiba di sana, mereka bertemu dengan Husin yang membawa sampan yang kononnya dianggap sebagai motor besar. Mereka Wani, Yeh dan Husin dijemput Khuda untuk masuk menikmati bubur keladi.

Beberapa minggu kemudian, mayat Kak Limah dijumpai di kebun dan dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Pisang. Yeh diminta datang untuk melihat jenazah. Sementara itu, Wani, Husin dan Khuda sedang menjerat burung di dalam hutan. Ketika ini, Husin mengambil peluang bertemu dengan Eton, kekasih barunya.


Bermulalah gangguan pertama dimana Nayan terjumpa Kak Limah yang rambutnya kusut masai di tepi jalan. Nayan lalu menghantar Kak Limah balik ke rumahnya dan ke Klinik Kesihatan. Nayan lalu dapat tahu Kak Limah sudah meninggal dan diminta jaga mayat Kak Limah. Yeh bertemu dengan Wani dan Husin. Wani dan Husin bercerita tentang sedapnya bubur keladi Kak Limah. Yeh lalu beritahu bahawa Kak Limah dah meninggal.

Malam itu, demi nak pastikan sama ada Kak Limah dah meninggal ke belum, Yeh, Husin dan Wani ke rumah Kak Limah sekali lagi. Mereka dijamu dengan bubur keladi sekali lagi. Husin meminta Yeh menonggeng dan lihat kaki Kak Limah melalui celah kangkang. Yeh dapati bahawa kaki Kak Limah sememangnya cecah lantai. Kesimpulan yang mereka buat ialah Kak Limah bukanlah hantu.



Namun, selepas turun daripada rumah Kak Limah, Wani terfikir bahawa sememangnya hantu boleh jejak lantai, tetapi mereka sebenarnya tak boleh jejak tanah. Lalu, Husin perangkap Khuda untuk turun ke tanah dan pengsankannya untuk menarik Kak Limah turun ke tanah. Kak Limah ragu-ragu untuk turun ke tanah namun akhirnya dia pijak juga. Sekali lagi, tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah mereka melihat Kak Limah melalui celah kangkang.

Mereka lalu melarikan diri. Khuda dan Wani berpecah dengan Husin dan Yeh. Mereka akhirnya bertemu semula dan kemudiannya meminta pertolongan Solihin, bomoh yang balik kampung selama dua hari. Gangguan demi gangguan berlaku sehinggalah melibatkan penduduk kampung. Namun, mereka akhirnya menguburkan Kak Limah keesokannya.

Keesokannya, gangguan berlaku lagi. Husin pula pada masa yang sama cuba untuk bertemu dengan ayah Eton. Apabila Eton membawa Husin ke dunia bunian, di situlah Husin mengetahui bahawa Eton ialah seorang bunian. Ayah Eton menyatakan bahawa hubungan Eton dan Husin tidak boleh terjadi kerana adanya 'kes sebelum ini'.

Ayah bunian menyatakan bahawa hubungannya dengan Husin sebenarnya tidak putus. Ayah bunian menyatakan bahawa jika ada apa-apa masalah, hanya gunakan ayat 'per per' untuk memanggil mereka.

Usaha terakhir untuk menghalang amukan Hantu Kak Limah dilontarkan oleh Solihin. Caranya ialah dengan menggunakan barang yang dimiliki Kak Limah sendiri untuk memerangkap Kak Limah ke satu tempat. Teknik itu menjadi, malangnya, Solihin teruk dibelasah Hantu Kak Limah. Husin lalu menyebut 'per per', dan datanglah pertolongan dari dunia bunian.

Ayah bunian lalu menggunakan kuasa saktinya untuk melemahkan Hantu Kak Limah. Rupanya, Hantu Kak Limah didedahkan sebagai Noraini, seorang bunian yang berkahwin dengan Khuda sebelum menikahi Kak Limah. 

THE TWIST

Filem ini sebenarnya mendedahkan bahawa apa yang terjadi sebenarnya bukanlah salah Kak Limah. Ianya sebenarnya salah Noraini yang mendambakan cinta Khuda. Pada akhir filem ini, didedahkan bahawa Khuda sebenarnya sudah pun bernikah dengan Noraini yang mana seorang bunian sebelum menikahi Kak Limah. Noraini akur dengan suaminya dan tinggal bersama Khuda. 

Malangnya, Khuda gagal mengawal sikap Noraini yang tidak mampu hidup dengan manusia. Tidak tahan dengan sikap Noraini, Khuda membawa Noraini ke dalam kebunnya. Lalu, dia menanam kulit jagung dan meminta Noraini menunggu di situ sehingga kulit jagung itu tumbuh. Sebagai bunian, Noraini akur dan menurut arahan Khuda. Masa berlalu, dan Khuda pun menikahi Kak Limah. 



Khuda tidak tahu bahawa sumpahan Khuda terhadap Noraini tidak kekal lama kerana kulit jagung yang ditanam Khuda sebenarnya tumbuh di alam bunian walaupun tiada pokok di alam manusia.  Sepanjang penantian Noraini, dia rasa dirinya diseksa dan menyimpan dendam terhadap Khuda. Pada suatu hari, ketika Khuda membawa Kak Limah ke kebun dan meninggalkannya untuk bekerja, Noraini menukarkan wajahnya menjadi Kak Limah yang menggerunkan. Kak Limah lalu mati kerana serangan jantung.

HURAIAN BABAK AKHIR: HUSIN, KHUDA DAN BUNIAN


Selepas semua kekacauan, Khuda, Husin, Yeh dan Wani berada di beranda rumah Khuda. Mereka lalu bercakap tentang apa yang mereka lalui. Babak itu diakhiri dengan Khuda menunding ke arah empat orang bunian yang sedang menapak dari jeti kecil di hadapan rumah Khuda. Babak yang ringkas ini sebenarnya menghuraikan banyak perkara yang sebenarnya tersirat. Tenang, kami akan huraikan kembali apakah signifikasinya.

Satu, melalui lagu Bermohon Kasih yang disiulkan oleh Husin, kita sebenarnya dapat menyelongkar hati Husin (huraian lagu lagu yang dimuatkan dalam filem Hantu Kak Limah di sini). Walaupun Eton sudah menyatakan bahawa hubungan Eton dan Husin hanyalah sebagai kawan, Husin sebenarnya masih lagi mengharap Eton menjadi kekasih hatinya walaupun sebenarnya Husin dah redha tentang hubungan mereka yang gagal. Malangnya, walaupun impian Husin itu ada, dia sebenarnya sudah 'dinasihatkan' melalui kejadian Khuda dan Kak Limah tentang apakah kesannya bunian berkahwin dengan manusia.

Untuk masa hadapan filem Kak Limah, jika filem ini mempunyai sekuel lagi, berkemungkinan hubungan Husin dan Eton akan menjadi pencetus kepada masalah baru. Kita tidak tahu apakah jujur Husin untuk menerima penolakan dari ayah bunian. Kita juga tidak tahu adakah Husin benar-benar menerima takdir apabila dia mengetahui Eton ialah bunian. Apa yang kita tahu, Husin memang menggunakan bantuan bunian untuk menumpaskan Kak Limah. 

Kedua, babak akhir ini juga menggambarkan Khuda sebenarnya masih belum berubah. Selepas apa yang terjadi terhadap isteri keduanya, Kak Limah, Khuda masih berdegil dan masih lagi mengharapkan cinta bunian. Secara tersiratnya, kita mungkin dapat mengagak bahawa Khuda mungkin sudah biasa dengan alam bunian lebih dari Husin. Sebab itu dia boleh memanggil empat orang bunian dari rumahnya sahaja dengan mudah.

Kita tidak tahu apakah Khuda memanggil bunian dengan mantera atau apa. Tetapi, kita tahu bahawa Khuda seakan lebih mengetahui dunia bunian lebih dari Husin. Adegan ini juga memberikan ruang kepada kita untuk berfikir sama ada adakah Husin akan menggunakan bantuan Khuda untuk membawa Eton ke alam manusia di filem Hantu Kak Limah yang akan datang jika ada sekuellah. 



HURAIAN CREDIT SCENE

Dalam kredit scene filem Hantu Kak Limah, kita dapat lihat bahawa penduduk Kampung Pisang sudah kembali bekerja seperti biasa. Yeh yang bekerja di kilang arang mendengar watak lakonan Imuda yang sedang berangan tentang masa depan. Yeh lalu mengarahkannya untuk melakukan kerja dan berhenti berangan.

Yeh lalu ke tempat kerjanya dan bercakap tentang angan-angannya. Lalu, muncul dialog yang menyatakan bahawa orang melayu sukar untuk maju sebab berbual lebih ketika buat kerja. Credit scene yang mudah ini sebenarnya boleh dihuraikan dengan mudah sahaja. 

Melalui scene ini, Mamat Khalid mahu berkias tentang pendapat kenapa orang Melayu tidak maju. Ada benarnya juga bahawa kadangkala orang melayu sukar untuk maju kerana sikap yang suka berbual dan berangan, tetapi apabila berbuat sesuatu tidak seperti yang diangankan. Kiasan dalam credit scene sebenarnya ialah 'extension' kepada kiasan pomen melayu, bangsa kampung pisang, pawang takde power tetapi kaya raya, ahli politik hilang kuasa dan jadi pelobi yang sudah dikias secara sambil lalu sepanjang filem.

Dengan memisahkan isu melayu tak maju ini daripada isu ahli politik, pomen dan bangsa kampung pisang, Mamat Khalid seolah-olah mahu kita duduk bertenang dan benar-benar berfikir tentang kemajuan kaum melayu. Mamat Khalid juga seperti mahu menekankan bahawa isu ini amat penting daripada isu lain yang dilontarkan dalam filem ini secara sepintas lalu.

Jadi, adkaah anda setuju dengan pendapat Mamat Khalid? Tepuk dada, tanya diri.

MASS HYSTERIA: ANTARA KETAKUTAN DAN KAK LIMAH SEBENAR

Husin yang 'educated' menjelaskan bahawa apa yang berlaku pada malam pertama gangguan ialah disebabkan oleh 'mass hysteria'. Mass hysteria jika menurut Wikipedia boleh diistilahkan sebagai histeria beramai-ramai. Kita pernah dengarkan tentang kes budak sekolah yang histeria (dirasuk) dan kemudiannya rasukan itu berpindah dari murid ke murid sehingga menjadikan ramai pelajar lain turut histeria? Maka, itulah yang hendak digambarkan Husin mengenai apa yang terjadi di kampung Pisang.


Dalam erti mudahnya, pada malam kejadian matinya Kak Limah, orang pertama yang diganggu oleh Kak Limah ialah Nayan. Nayan ialah manusia yang penakut dan sebab itulah ketika dia berada di meja untuk cop borang, dia melihat pelbagai bentuk tangan Kak Limah yang berbayang. Secara teorinya, Nayan pada awalnya cuba untuk tidak percaya akan gangguan itu. Namun, makin lama, apabila suis lampu tertutup, ketakutan di dalam diri Nayan sudah mula menjajah otaknya.

Di sini, kepercayaan Nayan berubah daripada tidak percaya hantu (kita dapat tengok Nayan tumpangkan Kak Limah selamba je tanpa fikir apa-apa), kepada percaya hantu. Minda Nayan menterjemahkan imej Kak Limah yang sudah menjadi mayat (ingat kan dia masuk lihat mayat Kak Limah dan terkejut?) dan dicampur dengan ketakutan, maka jadilah apa yang dia nampak.



Apa yang terjadi pada Nayan diceritakan kepada orang ramai. Dan dengan kejadian yang menimpa Yeh, Wani dan Husin, bukti kewujudan Hantu Kak Limah yang pada awalnya hanyalah imaginasi menjadi lebih kuat. Dan ketakutan yang dimiliki Nayan kini berpindah kepada seluruh kampung. Hal ini yang menjelaskan kenapa Hantu Kak Limah boleh muncul di rumah Yeh dan rumah Husin. 

Babak Hantu Kak Limah mengurut Yeh mungkin terjadi kerana keletihan Yeh sendiri. Dia melihat apa yang minda fikirkan. Dan disebabkan isterinya dan insiden Kak Limah ialah perkara yang difikirkan pada masa itu, maka dua perkara ini bercampur dan terjadilah apa yang kita nampak. Begitu juga dengan scene Kak Limah mengganggu Husin.

Dalam erti mudahnya, tidak semua gangguan dalam filem Hantu Kak Limah sebenarnya ialah gangguan yang benar-benar sebuah gangguan. Hantu Kak Limah sebenarnya hanya mahukan Khuda. Secara teorinya, jika Khuda ada di dalam babak itu (seperti adegan Hantu Kak Limah angkat kereta, dan scene akhir), maka adegan itu sebenarnya memang hantu yang benar-benar hantu.

Tetapi, jika adegan yang tiada Khuda, seperti adegan Yeh di rumah, Husin nak tidur, dan juga gangguan Nayan di klinik kesihatan, berkemungkinan gangguan itu hanyalah rekaan minda dan cetusan daripada perasaan ketakutan watak itu sahaja. Ketakutan Yeh, Husin dan Nayan melengkapkan kepercayaan tentang Hantu Kak Limah sekaligus menyebabkan satu kampung ketakutan. 

Bagaimana dengan korang, adakah korang rasa semua babak hantu dalam Hantu Kak Limah benar-benar serangan dari Kak Limah sendiri, atau hanyalah serangan daripada ketakutan minda watak-watak yang direka sahaja?

SEMUANYA TENTANG HUSIN


Walaupun filem ini sebenarnya berkisar tentang Khuda, Noraini dan Kak Limah, filem ini sebenarnya ialah milik Husin. Husin yang mana merupakan watak yang kekal semenjak dari filem pertama dipilih untuk berada di dalam filem ini atas sebab tersendiri. Jika tidak, kenapa Usop Wilcha, Abi Hurairah, dan beberapa watak lain dipilih untuk 'dibuang' dari filem ini, kan?


Pastinya Mamat Khalid mahu meneruskan kisah Husin yang berakar dari filem pertama dan kedua lagi. Jika kita imbas kembali, dalam filem pertama, kisah cinta Husin ialah satu-satunya plot cinta yang berterusan dari filem ke filem. Husin kali ini dikisahkan bercinta dengan watak Eton sekaligus membuka lembaran baru selepas cintanya dikecewakan dalam Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Walaupun kisah cinta Husin dan Eton kecil, sebenarnya the whole idea tentang filem ni ialah manusia tidak boleh berkahwin dengan bunian. Melalui apa yang berlaku kepada Khuda, secara tersiratnya, Husin sebenarnya sudah dinasihatkan tentang akibat jika Husin berkeras juga untuk membawa Eton ke alam manusia.

Plot filem ini jika dilihat dari pandangan Husin boleh dilihat seperti berikut. Husin mahu menikahi Eton. Dia dihalang oleh ayah bunian. Husin mungkin redha dengan situasi ini. Takdir menunjukkan kepadanya akibat jika Husin meneruskan perkahwinan dengan Eton melalui kejadian yang telah menimpa Khuda. Husin lalu berfikir untuk tidak meneruskan cintanya kepada Eton (mungkin). Selesai.

Jadi, pada pandangan anda, apakah Husin lebih penting dari Kak Limah sehinggakan Kak Limah terpaksa terkorban demi menyelamatkan Husin dari menjadi seperti Khuda?

KESIMPULAN

Hantu Kak Limah ni, kalau nak bincang secara deep, memang seminggu pun tak habis. Ada banyak perkara yang tersirat di dalam filem ini yang boleh diperbincangkan dan dilihat secara dalam. Filem Hantu Kak Limah bukan sahaja sebuah kritikan masyarakat malah ianya juga membuktikan bahawa sebuah filem yang baik dan berkualiti mempunyai ruang untuk berada di bibir penonton. Jarang ada filem Melayu yang boleh dihuraikan sebegini rupa.

Hantu Kak Limah kini di pawagam.





LIKE DAN FOLLOW KAMI DI FACEBOOK


Catat Ulasan

0 Ulasan