Tahun Terbit | 2018
Pengarah | Syafiq Yusof
Pelakon | Syamsul Yusof, Rosyam Nor, Fattah Amin
Naskah KL Special Force sebenarnya ialah satu lagi pertaruhan Syafiq Yusof yang mahu mengubah landskap filem Malaysia. Syafiq nampaknya seperti sudah muak dengan industri filem Malaysia yang dipenuhi dengan filem yang penuh komedi tetapi tidak menjanjikan apa-apa yang mengubah persepsi penonton terhadap filem kita. Bermula dengan eksperimennya dengan Desolasi pada tahun 2016, Syafiq kini kembali dengan eksperimen terbaru, KL Special Force!
KL Special Force ialah satu pertaruhan. Untuk berjaya, filem ni kelihatan agak tipis pada awalnya kerana Syafiq sendiri menyatakan bahawa naskah ini bersifat serius. Tidak seperti filem sebelumnya, Abang Long Fadil 2 yang mempunyai komedi, KL Special Force bukan sahaja sebuah naskah kepolisan yang berkisar tentang polis menumpaskan kejahatan. Ianya tentang sebuah kisah dalaman diri Syafiq yang nak disampaikan kepada penonton.
Filem yang dibintangi oleh Rosyam Nor, Fattah Amin dan Syamsul Yusof ini hanya bermain dengan persoalan kenapa dan kenapa? Sepanjang filem, kita sebenarnya dimomokkan dengan pelbagai tanda tanya. Siapa jahat? Siapa baik? Tindakan siapa betul? Tindakan siapa salah? Kenapa itu terjadi dan pelbagai lagi persoalan. Dan sepanjang kita berteka-teki, Syafiq menyelitkan aksi cemas yang tidak berkesudahan.
KL Special Force bergerak lancar sebagai sebuah filem aksi kepolisan serius yang berjaya memberikan rasa cemas dan debar dalam diri penonton. Antara kekuatan filem ini semestinya pada dialognya yang catchy dan juga punchline yang mengena setiap kali dituturkan oleh wataknya. Walaupun ada sekali sekala kedengaran ayat yang sedikit ‘jiwa muda’ yang didialogkan oleh pelakon senior kelihatan janggal, ianya tidak memusnahkan jiwa setiap adegan.
Syafiq juga berperanan sebagai penyunting filem ini. Nampaknya, dia tidak mahu orang lain mengawal ideanya yang sedang membuak di jiwanya. Dia sudah nampak bagaimana KL Special Force harus pergi dan hasilnya tidak mengecewakan. Suntingan filem ini berjaya mewujudkan rasa cemas dan juga debar sekaligus tidak membuatkan penonton berganjak sedikit pun daripada memandang skrin.
Syamsul Yusof menampilkan persembahannya yang cemerlang. Akhirnya, dia sudah menjumpai watak yang sesuai dengan dirinya. Memang jahatnya sangat gila dan memukau. Semestinya, lakonannya boleh disifatkan antara antagonis terhebat dalam filem Malaysia. Fattah Amin dan Rosyam Nor nampaknya gandingan yang memang serasi di layar. Pergaduhan mereka antara senior dan junior memang tegang dan sentiasa menarik perhatian.
Aksi yang dipaparkan dalam filem ini memang setaraf dengan filem luar Malaysia. Aksinya kadangkala melanggar logika, namun dalam logik filem, ianya memang sesuatu yang menarik untuk dilayan. Adegan kejar mengejar yang berakhir dengan letupan kereta memang mencemaskan. Apatah lagi babak tembakan di dalam apartmen yang sememangnya antara detik aksi tercemas dalam filem ini.
Kerja kamera filem ni boleh disifatkan agak baik dan mutunya hampir sama dengan Abang Long Fadil 2. Setiap aksi dan emosi pelakon dirakam sempurna sekaligus menjadikan setiap babak demi babak enak dilayan tanpa sebarang gangguan.
Melalui KL Special Force, Syafiq berjaya membuatkan sebuah filem aksi musim panas versi Malaysia yang tersendiri dan dalam masa yang sama cuba untuk memberitahu sesuatu kepada penonton Malaysia. Ya, di sebalik keringanan filem ini yang mengajak penonton untuk meneka siapa baik dan siapa jahat, filem ni sebenarnya ialah sebuah filem yang lebih jauh daripada itu jika dilihat secara tersirat.
KL Special Force mungkin boleh dikatakan karya anak muda Syafiq yang paling agung buat masa ini. Berani bereksperimentasi dengan pelbagai material akhirnya berjaya menemukannya dengan sebuah formula filem box-office yang bakal mengubah landskap filem Malaysia. Jika dahulunya, filem Polis Evo menjadi aras tertinggi filem aksi di Malaysia, KL Special Force menolak filem Polis Evo ke bawah dan menjadi penanda aras baru! Berjayakah Polis Evo 2 menyaingi KL Special Force kelak, masih menjadi misteri!
4.5/5
Untuk baca HURAIAN BABAK KEMUNCAK FILEM INI, KLIK SINI…
0 Ulasan