Fail Kes Ed dan Lorraine Warren: Kisah Rumah Berhantu Di Enfield, London



Jika anda pernah menonton The Conjuring 2, anda pasti akan mengetahui bahawa premis filem ini ialah berdasarkan kisah sebenar yang berlaku di Enfield, London. Kejadian ini ialah sebahagian daripada pelbagai kes yang disiasat oleh Ed dan Lorraine Warren. 

Berikut kami huraikan apa yang sebenarnya berlaku di dalam kejadian pada tahun 1977.



PERMULAAN KISAH

Pada Ogos 1977, Peggy Hodgson yang tinggal di sebuah rumah di Enfield, England telah memanggil polis ke rumahnya. Dia melaporkan kepada polis yang hadir tentang anak-anaknya, Margaret (14 tahun), Janet (11 tahun), Johnny (10 tahun) dan Billy (7 tahun) yang melihat perabot di dalam rumah tersebut bergerak dengan sendiri dan juga adanya bunyi ketukan di dalam dinding.

Kejadian di dalam rumah itu disaksikan sendiri oleh polis yang hadir dan melalui satu temubual, polis tersebut yakin bahawa dia tidak menyentuh kerusi itu atau siapa pun menyentuhnya ketika dia menyaksikan sendiri apa yang dilaporkan oleh Peggy Hodgson.

Antara laporan tentang kejadian misteri di rumah tersebut termasuklah kedengaran bisikan, bunyi balingan, kerusi bergerak sendiri dan juga anak-anak Peggy yang diapungkan oleh sesuatu. Kejadian ini mendapat perhatian akhbar British seperti Daily Mail dan Daily Mirror. Sehingga kini, kejadian di dalam rumah itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. Namun, dalam satu temubual bersama seorang jurufoto, dia yakin bahawa kejadian tersebut benar.

PENYIASATAN

Penyiasat paranormal Maurice Grosse dan Gut Lyon Playfair menghabiskan masa 13 bulan bersama dengan keluarga ini dan cuba menghuraikan apa yang terjadi. Ketika penyiasatan, ada lebih kurang 26 kejadian yang tidak dapat dihuraikan termasuklah Janet terapung, selimut ditarik, rasa sejuk, api yang muncul secara tak sengaja dan banyak lagi. Malah kamera milik jurukamera BBC TV yang merakam kejadian itu dilaporkan rosak dan rakaman hilang.

Selepas tiga bulan menyiasat, aktiviti paranormal semakin bertambah. Bunyi ketukan di dinding semakin kuat sehinggakan mereka menyimpulkan bahawa kejadian itu sememangnya berkait dengan hantu atau mistik. Grosse cuba untuk berkomunikasi dengan makhluk tersebut, dan ketika inilah Janet sudah mula dirasuk dan mula mendapat kekuatan yang di luar kawalannya. Janet dirantai dan diberikan sedatif untuk melemahkannya.

Tiada aktiviti paranormal yang banyak berlaku di dalam bilik tidur. Jurufoto bernama Graham Morris dari Daily Mirror kembali ke rumah tersebut setelah meninggalkan kamera di dalam bilik tidur setelah beberapa lama. Kamera yang dikawal oleh alat kawalan jauh itu mengambil gambar selang 4 saat. Kamera itu berjaya merakam saat Janet dihumban dari katilnya oleh satu kuasa mistik yang tidak diketahui.

Janet terus dirasuk dan kerap bercakap seperti suara seorang lelaki. Grosse dan Playfair yang menemubual Janet mendapati bahawa Janet memperkenalkan dirinya sebagai Bill, seorang lelaki yang mati akibat kecederaan otak ketika duduk di kerusi kegemarannya di dalam rumahnya. Seorang lelaki bernama Terry Wilkins mengakui bahawa Bill ialah ayahnya. Wilkins mengakui bahawa Bill pernah tinggal di rumah itu sebelum Peggy Hodgson pindah ke situ. Wilkins juga mengakui apa yang dituturkan oleh Janet ketika dirasuk ialah benar. 


Pada Julai 1978, Janet dimasukkan ke hospital mental dimana dia tinggal di sana selama dua bulan dan menghadapi pelbagai ujian. Namun, pakar psikiatari gagal mendapati apa-apa masalah dengan Janet dan dia dibenarkan keluar dari hospital tersebut. Dan selepas itu, kejadian mistik itu pun berhenti. 


PENIPUAN OLEH JANET

Walaupun kejadian misteri ini masih tidak dapat dihuraikan kesahihan, ramai yang percayakannya sehinggakan adanya beberapa buku ditulis oleh Maurice Grosse dan Guy Lyon Playfair bertajuk This House is Haunted: The True Story of a Poltergeist (1980). Buku tersebut menghuraikan kemungkinan ada benarnya juga rumah itu dihuni makhluk halus, tetapi penulisnya tetap juga percaya adanya unsur penipuan di dalam kejadian mistik ini.

Dalam buku bertajuk Poltergeists: Examining Mysteries of the Paranormal (2006) tulisan Michael Clarkson mendedahkan bahawa Anita Gregory yang juga terlibat untuk menyiasat kejadian ini mendapati bahawa Janet menggunakan helaian kain di dalam mulut untuk meniru suara lelaki misteri yang merasuknya. Malah, satu rakaman video juga mendapati Janet membengkokkan sudu dengan sengaja. 


Malah, Jannet dikatakan melatih dirinya untuk melompat dalam satu rakaman gambar yang popular sekaligus menyebabkan dirinya kelihatan seperti terapung.

Janet dan Margaret pernah mengakui penipuan ini di hadapan wartawan, Playfair dan Grosse memaksa dua kanak-kanak itu menarik balik pengakuan mereka. Namun, ramai sudah merasakan bahawa kejadian di rumah Peggy Hodgson ini tidak lebih dari sekadar penipuan.

PENIPUAN DEMI PENIPUAN

Dalam satu temubual oleh BBC Scotland, Janet dan Margaret yang ditemubual kelihatan seperti tidak konsisten dalam jawapan ketika diajukan soalan. Ketika disoal tentang bagaimana rasanya dihantui oleh hantu, Janet menyatakan bahawa rumah itu tidak berhantu. Pengakuan Janet pula dibantah oleh Margaret yang meminta Janet untuk diam. 

Maurice Grosse pernah merakamkan rasukan Janet dan menyatakan bahawa tiada helah dilakukan. Namun, seorang ahli silap mata, Bob Couttie mendedahkan bahawa suara Janet yang menghasilkan suara Bill itu ialah suara yang sememangnya boleh dibuat oleh seorang perempuan pada umurnya dan ianya tidak mustahil bagi seorang remaja yang imaginatif.

Malah, ketika penyiasatan, Grosse dan Playfair ditemani oleh dua orang lagi penyiasat paranormal yang mana kelihatan tidak percaya dengan apa yang dipercayai oleh Grosse dan Playfair. 



Joe Nickell, seorang yang cuba mengesahkan pemalsuan ini mendedahkan bahawa kerosakan pada alat rakaman milik Grosse mendorong kepada fakta mistik yang cuba ditanamkan oleh Grosse. Joe Nickell mendakwa bahawa kamera yang merakam aktiviti Janet di alam bilik yang dikawal melalui alat kawalan jauh hanya mengambil gambar satu kali selang beberapa saat.

Jadi, adalah tidak hairan jika Janet merancang untuk 'mengapungkan' dirinya dengan melompat di atas katil yang anjal. Malah, rekod sekolah Janet yang mendedahkan bahawa dia ialah seorang atlet sekolah mendedahkan bahawa Janet tidak mustahil untuk melakukan aksi itu. Nickell juga mendedahkan bahawa apa yang disiasat oleh Ed Warren juga ialah sesuatu yang dilebih-lebihkan dan sesetengah laporan sengaja diada-adakan untuk mewujudkan kepercayaan rumah itu berhantu. 

Malah, seorang ahli silap mata dari Amerika, Milbourne Christopher pernah menyiasat kejadian ini dan gagal untuk mencari apa yang dilaporkan mistik di dalam rumah ini. Dia juga merasa ada yang tidak kena dengan Janet sekaligus menyimpulkan bahawa apa yang dilakukan Janet ialah sesuatu yang bijak dan hanyalah perlakuan budak yang ingin mencari pasal. 

Seorang pakar psikologi, Chris French juga pada 2016 mendedahkan bahawa kisah Enfield Horror ini ialah palsu dan penipuan.

ED DAN LORRAINE WARREN MUNCUL TANPA DIUNDANG

Walaupun kes ini disiasat oleh Maurice Grosse dan Playfair, kes ini dipopularkan kerana penglibatan Ed dan Lorraine Warren. Playfair pernah menyatakan bahawa pasangan penyiasat ini sebenarnya muncul tanpa diundang. Playfair sebenarnya menyatakan bahawa Ed dan Lorraine Warren hanya masuk campur tanpa diminta dan hanya muncul sekadar beberapa hari sahaja dalam menyiasat kes ini. 

THE CONJURING 2 

Secara dasarnya, ramai yang percaya bahawa apa yang disiasat oleh Ed dan Loraine Warren ini ialah satu penipuan. Malah eviden rakaman juga mendedahkan bahawa kejadian ini sememangnya ada sesuatu yang tidak kena. Apa yang dipaparkan di dalam The Conjuring 2 ialah sesuatu yang ditokok tambah untuk memberi hiburan dan bukannya benar sepenuhnya. Malah, idea kemunculan Valak dan semua itu tidak pernah ada di dalam kejadian sebenar.

James Wan mengadaptasi kejadian ini berdasarkan apa yang dia mahu percaya. Tetapi, dalam pada masa yang sama, dia menambah bumbu-bumbu untuk menghidupkan The Conjuring universenya dan menyebabkan filem ini berdiri hanyalah sebagai filem dan bukannya gambaran sebenar terhadap kejadian asal. 

Itulah kisah Enfield Haunting! Ada soalan? Jangan lupa komen tau!





Catat Ulasan

0 Ulasan